Saya mengikuti dengan penuh debar perkembangan kehilangan atau perompakan dua enjin pesawat tempur F-5E kepunyaan negara. Pelbagai pandangan dan huraian dari semua pihak yang semestinya prihatin kedengaran. Yang paling saya malas dan mual untuk mendengarnya ialah telahan sesiapa sahaja dari pihak UMNO/BN dan polis. Saya cukup menyampah dan loya!
Dan Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan (foto) juga bimbang. Beliau menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini. Saya sebagai penggemar sastera negara sangat mengalu-alukan komentar beliau.
Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.
Beliau menyindir pedas dengan berkata, “Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya, tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.”“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi.
Tokoh sastera dan bahasa itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-10 pada 20 Oktober lepas. Anwar, 60, pernah mengikuti program penulisan antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada 1986 dan menjadi Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000).
Kini, beliau bertugas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai Dekan Fakulti Penulisan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Satu Gapena dan menerima S.E.A Write Awards pada 2002.
Anwar telah menghasilkan empat novel, empat kumpulan cerpen, empat drama, sebuah buku sajak dan tiga buku esei.
Tokoh Sasterawan Negara sebelum ini ialah Allahyarham Kamaludin Muhammad atau Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Allahyarham Datuk Dr Usman Awang (1983), Datuk A.Samad Said (1986), Muhamad Abdul Biang atau Arena Wati (1988), Prof Dr Muhammad Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussein (1996) dan S. Othman Kelantan (2003).
Berkaitan: Kudeta Intro dan Kudeta Klimaks: Percaturan geo-politik dicanai Amerika Syarikat
0 comments:
Post a Comment