Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan PAS. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-Bn, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.
Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.
Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.
Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.
Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah.
Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan: Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi tamil: ontre kulam oruvane thevan( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara)
(Sedutan sebahagian ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama, Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor pada 19 Disember 2009)
0 comments:
Post a Comment