Rihlah Ibnu Awang 1: Jurnal

Beberapa tahun dahulu, selepas lebih kurang setahun ayah saya menerima takdirnya menemui Allah, ibu saya memberikan sebuah buku catatan. Saya bertanya, “Buku apa ini?” Ibu menyuruh saya membacanya.

Katanya lagi sekiranya boleh, ibu meminta supaya saya menulis semula catatan tersebut memandangkan antara minat saya ialah bidang penulisan. Saya pun meneliti apa yang dicatat oleh ibu. Ianya merupakan sebuah jurnal ringkas dari sudut pandang seorang wanita dan ibu.

Saya memulakan proses adaptasi dari catatan ibu tersebut perlahan-lahan, kerana saya bimbang apa yang ibu mahu sampaikan tersasar. Dalam masa yang sama, saya sedaya upaya memodenkan bahasa dan kaedah penceritaan supaya ianya mudah difahami dan tidak mengelirukan. Dari pembacaan jurnal tersebut, saya menyedari ada bahagian-bahagian tertentu ibu pernah ceritakan kepada saya dan anak-anak beliau yang lain.

Saya mula mengukir kembali sudut pandang, rasa, curahan hati dan harapan ibu ini setelah ketiadaanya di dunia fana, menghadap Allah Yang Maha Esa. Namun buat beberapa ketika, jemari seni ini menjadi kaku, sukar benar untuk menari di atas papan kekunci laptop. Ia bukan disengajakan, hanya Allah yang Maha Tahu apa hikmahnya. Hasrat untuk menulis semula dan menyiapkan jurnal ibu dengan penambahan rihlah Ibnu Awang muncul tidak berapa lama kemudian.

Dalam proses nukilan dan adaptasi tersebut, saya memasukkan maklumat-maklumat tambahan yang saya ingati. Dalam penambahan tersebut, saya cuba menyelami sanubari seorang ibu. Walaupun saya seorang lelaki, tetapi hati budi, luahan rasa dan pandangan ibu dapat saya serap dengan baik, insya-Allah.

Saya mengolah semula keseluruhan gaya penceritaan ibu. Saya meraih kembali ingatan dan kenangan bersama ibu di sepanjang kehidupan. Saya membuat penambahan dan pemantapan di sana-sini. Saya penuhi lompang-lompang di mana perlu supaya rihlah (travelog) kehidupan ini boleh diambil manfaat oleh para pembaca.

Kerap juga saya melihat kembali foto-foto kenangan bersamanya. Mungkin dari situ saya beroleh sedikit sebanyak kekuatan mengolah dan mentafsir apa yang ibu ingin sampaikan.

Ibu adalah seorang wanita yang tabah meraduk riak dan gelombang kehidupan. Banyak cabaran berjaya ditempuhinya bersama ayah. Mereka berdua bersama-sama mendidik saya dan adik-adik menjadi insan yang tahu menilai baik dan buruk.

Walaupun pembelajaran ibu dan ayah tidak setinggi mana lantaran faktor kemiskinan, namun minda mereka tajam dan berwawasan. Mereka telah merancang masa depan dengan baik dalam ruang lingkup kesedaran bahawa penentu segala ialah Allah Yang Esa. Moto mereka mungkin menyamai moto saya, iaitu usaha, doa dan tawakal.

Ini ialah sebuah rihlah kehidupan. Harapan saya semoga ada kandungan yang merupakan catatan awal ibu dan sebarang penambahbaikan dari saya dapat memberi manfaat kepada pembaca. Sebarang manfaat walaupun sekelumit.

Kini kedua-dua orang tua saya sudah tiada. Ayah dahulu yang pergi meninggalkan saya dan adik-adik. Beberapa tahun kemudian ibu pula menyahut seruan Ilahi.

Terimalah rihlah kehidupan ini. Tidak merantau merentasi dunia fizikal sehingga ke seluruh benua, melainkan sebuah rihlah dalam ruang lingkup jiwa dan pemikiran yang tidak bertepi. Ia juga sebuah dimensi kehidupan demi hijrah.

Sebuah kisah penghijrahan keluarga Melayu dari Besut, Terengganu ke Jerantut, Pahang dari leluhur Jawa dan Patani. Sebuah cacatan perjalanan dan curahan pengalaman dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya.

Ia juga mengandungi rihlah seorang anak lelaki bernama Ibnu Awang, sang penulis yang hina dina di penglihatan Allah Taala andai tanpa cinta-Nya yang tidak bertepi, yang dimanifestasikan dalam setiap penciptaan dan rahmat-Nya yang Maha Agung.

--- Bersambung.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger