Selain mendengar kuliah agama di masjid, pada lain ketika, Sultan Murad II
mengajak sekali lagi kedua-dua ulama itu ke istana. Beliau ada perkara khusus
untuk ditanya dan dibincangkan.
Sebelumnya Sultan Murad II mengingati pertama kali beliau berjumpa dengan Syeikh
Bayram.
Saat Syeikh itu tiba di istana
pada kali pertama, Sultan
Murad II melihat wajahnya
dan jelas bersinar seperti matahari di
langit. Indah dan jelas. Ekspresi
wajah, penampilan
dan sikapnya semua molek. Keelokan
terserlah semasa beliau berdiri, berbicara atau berjalan.
Sultan Murad II melihat
refleksi kecantikan
dalaman di wajahnya dan beliau mengerti bahawa mereka yang melaporkan sikap
Wali Allah ini kepadanya salah. Beliau menunjukkan rasa hormat dan
menerimanya sebagai tamu istimewa di istananya.
Kemudian beliau sungguh
tenang mendengar setiap tutur bicara ulama itu.
Kini tetamu istimewa itu berada di hadapan matanya
sekali lagi, bersama muridnya Syeikh Aaq Syamsuddin. Sultan Murad II cukup
senang, terpancar sinar gembira di wajahnya.
Sebaik duduk, Sultan Murid II terus kepada persoalan, “Tuan
Syeikh yang dimuliakan, adakah hadis Rasulullah (SAW) yang mengatakan kota
Konstantinopel akan ditawan oleh Islam di bawah raja yang baik, tentera yang
baik dan rakyat yang baik itu sahih?”
Syeikh Bayram menjawab
"Demi Allah hadis itu sahih, Tuanku."
"Tuan
Syeikh yang saya muliakan. Tuan seorang alim yang berada semasa pemerintahan
Sultan Urkhan, Sultan Murad sebelum saya dan ayahanda saya Sultan Beyazid. Tuan
sudah tahu akan usaha-usaha penaklukan sebelum itu juga. Saya pun pernah di
tahun 825 Hirah cuba menawan kota itu. “
Sultan
terdiam sebentar sebelum bertanya, “Mengapa saya masih tidak berjaya menakluk
Konstantinopel? Adakah saya, tentera dan rakyat saya tidak layak?"
Syeikh
Bayram tersenyum, kemudian dia bertafakur. Suasana sunyi dalam balai
penghadapan istana itu.
Wali Allah itu memberi taakulannya, “Allah
bentangkan dalam perancangan-Nya dengan rumusan bahawa kebenaran pasti menang,
tanpa kita perlu ragui. Walaupun demikian, kemenangan harus dimulai dengan
perjuangan yang berat, hatta sehingga nyawa melayang demi sebuah syahid yang
mulia. Begitu juga dengan kemudahan pasti menjelma, tetapi kita mesti
menyeberangi lautan kesulitan terlebih dahulu.
“Untuk diri saya sendiri dan
Tuanku yang saya sayangi, harus difahami yang diutamakan dalam hidup ini ialah
proses, bukan sekadar hasil. Maka yang lebih bermakna ialah perjuangan meraih
keberhasilan, bukan hanya keberhasilan itu sahaja. Allah sudah tetapkan takdir
yang keberhasilan itu pasti datang asalkan disertai dengan perjuangan dan
bantuan Allah dari tawakal kepada-Nya.
“Tuanku, suka saya membaca ayat
al-Quran dalam Surah al-Insyirah, ayat 5 – 6.”
Kemudian Syeikh Bayram membaca maksud terjemahannya, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Sultan Murad II lantas
mengucapkan ucapan pohon keampunan, “Astaghfirullah,” berulang kali.
“Lantas apa hemat dan firasat Tuan
Syeikh, bila dan siapakah yang dapat menakluk Konstantinopel?”
Syeikh Bayram terdiam. Beliau
pejamkan mata, khusyuk meraih ilham Allah dengan kepala tertunduk.
Tidak berapa lama kemudian,
Syeikh Bayram mengangkat kepalanya. Beliau memandang wajah Sultan di hadapannya
dengan tersenyum manis, lalu berkata, “Allahu-Akhbar! Menurut firasat saya,
bukan Tuanku yang dapat menakluk kota itu, tetapi putera Tuanku.”
“Ya Allah! Saya tiada anak lelaki
lagi. Bagaimana?” Wajah Sultan Murad II penuh tanda tanya.
“Insya-Allah, Sultan, Tuanku akan
dikurniakan seorang putera yang baik, beriman dan gagah.”
“Isteri saya hamil?”
Syeikh Bayram mengangguk.
** Sedikit lagi di sini, insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment