Itulah jeritan sang Pendusta keseorangan. Riang sungguh
hatinya. Sebelum mengembara ke negeri-negeri benua Amerika, dia ingin sekali
melihat-lihat tanah Arab yang gersang itu. Dia ingin mengenali agama baharu
yang dibawa oleh manusia besar bernama Muhammad, sang Ummiyyin itu.
Rancangnya kemudian terus ke Yaman, Syam dan Mesir serta negeri di Iraq dan
kawasan sekitarnya.
Kembara besarnya akan diteruskan ke benua Afrika,
terutamanya Moroko, kemudian ke Palestin dan kawasan pesisir Laut Tengah.
“Benua Amerika. Dunia gelap di lautan itu ialah tempat
aku!” Ujarnya angkuh. Maka mengembaralah dia.
Awal abad ke-8
Masihi
Tekadnya tetap utuh. Nyawanya masih teguh. Tubuh badannya
tetap muda – seorang manusia yang terlalu tua dalam badan pemuda. Keangkuhan
menyarungi sekujur jasad dan hatinya yang hitam legam, menjadi sekeras besi
waja, sekeras logam bismuth.
“Aku akan tundukkan seluruh alam di bawah telapak
kakiku!” Itu tekadnya. Ibu kota Bermuda menjadi negeri gelapnya.
Lalu dia belayar lagi bersama para pembantu yang gagah
menuju ke Amerika Utara. Mereka berlabuh di sebuah pantai indah. Di sekitar
pantai itu terbentang padang sahara luas lagi gersang.
Dajjal berkata, “Tanah ini akan menjadi milik aku. Kalian,
ini milik kita.”
Para pengikutnya bersorak riang.
“Ayuh kita turun dan selidiki tanah ini,” dia keluarkan
arahan. Semua patuh sambil bersujud.
Mereka mengharungi padang pasir luas itu. Pada suatu
ketika, mereka ternampak beberapa gua dan rumah-rumah kediaman.
“Tuanku! Ada manusia hidup di sini!” Jerit seorang
juaknya.
“Cari mereka!”
Sebentar kemudian, mereka menjumpai beberapa suku kaum
hampir telanjang. Setelah berbual-bual, ternyata kaum itu juga menyembah sang
Iblis yang bernama Karmas.
“Tepat sekali dugaan aku. Ini daerah aku!”
Dajjal dan konco-konconya menanam jarum kejahatan di
kalangan manusia yang sedia jahat itu.
Dia berkata, “Kalian wajib menyembah aku. Inilah yang
terbaik untuk kamu, justeru aku sebenarnya tuhan yang mendapat restu Iblis.”
Daerah itu kemudiannya dikenali sebagai ‘dukun yang
ditunggu’ atau Florida. Pantai yang turut membawa makna ‘tuhan masa depan’.
Dajjal berkata setelah sekian lama tinggal di situ.
“Akulah raja dan tuhan yang kalian tunggu, seperti mana yang diberitahu oleh
bapa syaitan yang kalian sembah. Aku akan tinggalkan seorang hakim.”
Dia memanggil konconya yang bernama Kasyih bin Jarmu,
seorang Yahudi dari Moroko. Dia dilantik sebagai ketua hakim di Florida yang
akan menggantikan diri Dajjal.
** Hakcipta Terpelihara WEB SUTERA.
** Ini adalah cebisan
fiksyen Armagedon versi Islam yang baru mula ditulis. Ini cubaan novel saya
yang ketiga selepas Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain (2012) dan Konstantinopel: Kibaran
Panji-panji Al-Fateh (2013), insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment