Lantaran itu, keyakinan dan pandangan
pentafsir Taurat dan Bible diambil oleh para penulis Islam. Mereka berpegang
kepada teori orientalis, maka semakin sulit untuk hasilkan hujah menentang pembohongan
Yahudi.
Tafsir ayat-ayat Al-Quran, pada hemat
saya, seharusnya selari dengan penemuan moden dalam bidang arkealogi.
Seandainya dahulu kurang kajian bidang arkealogi, mutakhir di abad ke-21 Masihi
ini, sudah banyak penemuan terkini, termasuk peristiwa banjir besar di era Nabi
Nuh itu tidak merangkumi seluruh permukaan planet Bumi.
Doktrin semit yang dipalsukan Yahudi
terus menjadi rujukan yang diambil oleh para pengkaji Muslim, secara sedar atau
tidak. Ini termasuk kes pentafsir Taurat yang membutakan mata hati manusia
dengan doktrin bangsa Yahudi sebagai bangsa terpilih. Justeru dikatakan
‘seluruh manusia yang ada sekarang ini’ ialah dari keturunan Nabi Nuh dengan
anggapan baginda sebagai bapa manusia kedua selepas Nabi Adam.
Perkisahan banjir besar ini juga banyak
terdapat dalam budaya masyarakat di seluruh dunia. Antaranya ialah kisah dari epik
Sumeria, Babylon, India, Wales, Skandinavia, Lithuania, China dan mitos Yunani.
Semua lagenda ini menjadi bukti adanya
banjir besar itu. Pada mulanya ia berkisar kepada peristiwa benar justeru
diberitakan oleh para nabi Utusan Allah bagi setiap kaum atau bangsa. Mereka
menerima mesej melalui wahyu suci. Namun lama kelamaan, kisah ini menjadi
lagenda, kemudian mitos bangsa. Mengapa? Ia justeru kerana kaum-kaum itu sudah
terpesong dari kebenaran ajaran para nabi.
Hanya Al-Quran yang kekal menjadi
rujukan utama. Sekali lagi saya ingatkan, kisah, tafsir dan lagenda bangsa
berkaitan bahtera Nabi Nuh selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan
hadis-hadis yang benar, maka ia boleh dijadikan panduan.
Kaedah periwayatan kisah para nabi dalam
Al-Quran dan Taurat berbeza. Ada hikmah perbezaan itu. Al-Quran ada beriwayat
sebahagian kecil daripada para nabi, dan dalam masa yang sama ramai lagi Utusan
Allah tidak tercatat.
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.” (Surah an-Nisaa', ayat 164)
Salah satu hikmahnya ialah kisah nabi
dan rasul dalam Al-Quran demi untuk menguatkan dakwah Nabi Muhammad (SAW) dan sebagai
hujah Baginda kepada golongan Yahudi dan Nasrani.
Perincian kisah para nabi juga
kadangkala, termasuk kisah Nabi Nuh, dilihat tidak terperinci, malah
berselerak. Apa sebabnya? Menurut hemat saya, sasaran kisah dalam Taurat ialah
sejarah, manakala dalam Al-Quran lebih ditekankan kepada ibrah dan tauladan
daripada sejarah itu.
Namun menjadi tugas para ulama mentafsir
ceritera sejarah dalam Al-Quran untuk tatapan dan pemahaman manusia. Justeru
adanya banyak tafsir Al-Quran yang sedia kita tatap mutakhir ini.
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Ia juga sebagai jalan wahyu Allah khusus
untuk Nabi Muhammad (SAW), agar bersihkan segala tohmahan dalam banyak riwayat
Taurat dan Bible. Salah satunya sebagai pentunjuk bahawa agama-agama sejak
zaman Nabi Nuh sehingga ke Rasul Terakhir Nabi Muhammad (SAW) semua datang dari
Allah. Semuanya orang Muslim yang ‘berserah diri’ terhadap wahyu Ilahi.
Orang-orang yang beriman kepada Utusan
Allah / Rasul adalah ummah yang satu, dan mengakui Allah Yang Maha Esa. Cuma
syariat yang berbeza mengikut suku bangsa dan lokasi manusia di muka bumi ini.
Namun ketika Muhammad bin Abdullah diutus sebagai Rasul, maka syariat terdahulu
terbatal.
“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya’.” (Surah asy-Syuura, ayat 13)
Sebelumnya: Elemen tafsir Taurat dalam kisah Nabi Nuh (1)
Wallahu’alam. Hanya
Allah Yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui.
P/s: Rezeki dan hikmah serta bala dari Allah belaka. Sekiranya Allah tidak mengizinkan, kamu buat apa sahaja pada aku, namun aku tetap di sini.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment