Sebuah novel tebal yang
ringan tapi berat isinya. Aku tak gemar novel perang. Namun kerana sukakan
iktibar dan pengajaran, aku menghabiskan beberapa hari untuk membacanya hingga
ke muka surat terakhir. Novel ini ternyata padat isi dan info berguna.
Terima kasih dan
sekalung tahniah buat penulis (sahabatku) Web Sutera yang berjaya menghidupkan
watak-watak fantasi dalam novel ini, di samping menyelitkan pengajaran dan
idea-dea yang di luar jangkaan. Sebagai seorang pembaca tegar karya-karya
thriller, seram dan aksi, aku ada beberapa komen yang mana aku harap
komen-komen ini dilihat dari sudut positif. Semoga komen-komen ini memberi
manfaat.
Novel ini sebuah
novel islamik, yang memberi gambaran baik tentang agama Islam, semangat jihad
dan keberanian pejuang-pejuang Islam. Alangkah sesuainya jika tarikh-tarikh
peristiwa dalam novel ini menggunakan tarikh hijrah. Dan jika pun masih nak
gunakan tarikh masihi sekalipun, biarlah ia diisi dalam kurungan sebagaimana
begini; contoh 16 Rejab 1435 (15/5/2014).
Novel ini sebuah
karya fiksyen, yang memberi gambaran zaman akan datang, bagaimana suasana kehidupan
manusia dalam masa itu. Dari pengamatanku, penulis cuba mengambarkan penguasaan
dan kecanggihan teknologi dalam banyak hal, terutama dari pengunaan senjata,
penerokaan angkasa, setelit. Malah penulis juga mengambarkan kenderaan awam
(kereta) yang mengunakan kepintaran teknologi AI. Namun dalam satu bab, aku
terlupa muka surat berapa, ada sebuah keluarga yang sedang menonton berita dengan
mengguna tv plasma. Rasanya tv jenis ini dah tak wujud pada abad ke-25.
Begitu juga dengan
bab seorang gadis bernama Samatha, kalau tak silap aku yang mengupdate
(menulis) blognya. Rasanya pada abad ke-25 nanti, bukan hanya blog, Twitter,
malah Facebook mungkin dah tak wujud lagi. Seperkara lagi, gaya penulisan Samatha
dalam blognya sangat sama dengan gaya penulisan monolog si Mukmin, yang kerap
menggunakan ayat pendek. Contoh: ‘duhai hati’, ‘hei aku’, ‘ya Jesus, ‘wahai
dunia’.
Ketika menulis
perengan di atas, aku teringat sebuah rancangan lawak suatu masa dulu, yang
mana tema lawak minggu itu ialah kisah zaman akan datang. Apa yang menarik
perhatianku, selain penampilan pakaian yang berbeda, bahasa percakapan (slanga)
yang digunakan juga berbeda. Ya.. aku tahu itu hanya bahan lawak. Tapi aku rasa
ada benarnya, bahawa gaya percakapan kita akan berubah mungkin 10 atau 20 tahun
akan datang.
Sedangkan dalam novel
ini gaya percakapan lebih kepada bahasa sekarang. Malah penulis banyak
menggunakan perkataan ‘okey’… sikit-sikit ‘okey’, macam perkataan 'okey' itu dah
sinonim dengan semua bangsa, baik Muslim, Yahudi ataupun Bosnia, dan sinonim dengan
zaman sekarang hingga akan datang.
Menulis soal
percakapan, aku rasa dalam novel ini penulis terlepas pandang satu perkara. Rujuk
perbualan antara kapten armada sebuah kapal perang USS (tak ingat nama kapal
perangi itu), dengan seorang Komghazi Islam, yang menggunakan peribahasa ‘sekilas
ikan di air, dah tahu jantan betina’. Aku rasa kapten itu entah faham atau tidak
dengan peribahasa itu, dan yang bercakap itu, agak-agaklah dengan siapa yang
diajak bercakap, nak guna peribahasa bagai.
Begitu juga perbualan
antara jin ifrit dengan Komghazi Fateh Sa’adi (kalau tak silap aku, ketika
pertarungan terakhir di piramid itu), penulis memasukkan pepatah ‘sudah gaharu
cendana pula’. Aik! Jin pun tau peribahasa Melayu? Cangih, canggih!
Bab yang paling susah
nak faham ialah bab 29. Sungguh keliru, berbelit-belit dan memang sukarlah. Entah
apa yang penulis cuba gambarkan, aku pun tak tahu. Tapi dalam imaginasiku, aku
terbayang-bayang sebuah movie yang bertajuk The Matrix. Aku rasa macam itulah
gambarannya.
Sedar tak sedar, dah
berjela-jela rupanya komen aku. Oppps!! Maaf bos.. hehehe. Sebenarnya kalau nak
ikutkan banyak lagi yang aku nak tulis, terutama tentang kapal angkasa, UFO,
makhluk dari planet lain dan nak minta sedikit pencerahan tentang bangsa Polip itu.
Tapi mungkin lain kalilah, insya-Allah.
Akhir komen, aku rasa
penulis memang bersungguh-sungguh dalam penulisannya, terutama dalam genre
sejarah Islam dan perang. Semua orang tahu, memang terlalu jarang kita jumpa
novel atau penulis yang sanggup menulis cerita-cerita sebegini. Apatah lagi yang
bersandarkan fakta dan info.
Jujurnya mereka yang
sanggup menghabiskan buku ini adalah mereka yang minat dengan penulisan ataupun
minat dengan penulisnya (atau kedua-duanya sekali). Juga yang ingin belajar
teknik penulisan, terutama teknik imbas kembali, mereka yang suka dengan
fantasi dan mitos, dan mereka yang mencari pengajaran, ilmu dan ikhtibar dalam
setiap novel. Alhamdulilah, salah seorang dari mereka adalah aku.
** Komentar dan
kritikan Tuan Yg Lain, YgLain Enterprise, Mersing, Johor.
Respons susulan saya
Terima kasih, sahabat.
Tiada daya upaya melainkan dari Allah belaka. Bukan mudah untuk menulis dan
membayangkan senario masa depan yang belum pasti. Insya-Allah, sebuah ulasan
dan sudut pandang berbeza. Pandangan dan kritikan membina. Namun persepsi
setiap pembaca berbeza. Justeru .. saya raikan, insya-Allah. Persepsi teknologi
juga turut rencam ... ikut budi bicara dan taakulan sendiri.
Aku menulis cuba
menata makna
dari serbuan
informasi mengatur cakna
walau sisi pandang
pencicip ada beza
namun bukan
penghalang untuk berkarya.
** Novel berunsur sejarah dan masa depan ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment