Pesta buku adalah acara
yang saya sukai, terutamanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban
tahun. Sebelum menulis secara serius pun, saya tidak berdaya mengekang desakan
hati dan langkah kaki untuk ke PBAKL. Justeru saya sering berkata kepada
kawan-kawan, “Aku kedekut untuk membeli baju. Tapi kalau buku, andai ada duit,
aku akan tetap membelinya saban bulan.”
Oleh sebab itu juga, di
kalangan teman-teman rapat bekas rakan sekerja di MIMOS dan JARING, saya sering
dilabelkan sebagai ‘si penggila buku’. Saya tidak kisah dengan gelaran itu,
malah saya sering mengajak mereka pergi ke pesta buku sambil berkata, “Daripada
melepak dan pergi ke pusat membeli belah tak tentu hala, baik ke pesta buku.
Kalau tak belipun, paling tidak dapat cium bau buku.”
Di rumah saya cukup
selesa bersama buku-buku di rak dan tenang melihat banyak buku tersusun
(walaupun acap kali tak tersusun sangat pun). Dunia buku selari dengan dunia
keilmuan. Pada hemat saya, sekiranya seseorang itu suka membaca, paling busuk
ada juga ilmu yang dapat diambil. Cuma ... ambil yang baik dan perkara tak baik
buat tauladan.
Apabila mulai serius
menulis buku pada tahun 2011, PBAKL memang saat yang sangat saya tunggu. Kini
PBAKL 2015 diambang pintunya dibuka. Jujurnya tidak sabar untuk ke sana, bukan
sahaja kerana saya ada buku baharu, tetapi juga kerana ingin bertemu
teman-teman pembaca. Bersama teman dan sahabat yang gila buku membuatkan saya
rasa tenang.
Ayuh kita ke PBAKL 2015!
Merasai sendiri para penggila buku dan ilmu berpusu-pusu datang adalah
pengalaman dan pemandangan yang sangat asyik. Kalau kalian tidak pernah
merasainya, jom kita bergerak. Insya-Allah, kalian akan melihat situasi yang
cukup menarik.
** WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment