Alhamdulillah. Masya-Allah, tabarokallah!

Makin ramai yang tercari-cari novel setebal hampir 900 muka surat ini. Meskipun begitu, masih ada juga yang agak keliru dan tertanya-tanya adakah buku ini 'sebuah buku sejarah'.

Salah satu pertanyaan mutakhir ialah: "Jadi buku Konstantinopal ini dia kumpulkan tentang semua kerajaan-kerajaan selepas Islam bermula dari Khalifah al-Rasyidin sampai Khalifah Turki Uthmaniyah?"

Subhanallah! Inilah rencam pembaca. Saya kira sudah cukup penerangan yang dicanang, tetapi ternyata tetap tidak mencapai suara aksara itu pada sesetengah pencari. Ini kelemahan saya, saya akui.

Untuk soalan khusus di atas, inilah jawapan saya:

"Bukan. Ini bukan buku sejarah, tetapi sebuah novel berkaitan sejarah yang difokuskan kepada makna AL-FATEH.

Judul yang diberi ialah KONSTANTINOPEL: KIBARAN PANJI-PANJI AL-FATEH. Ia bukan bercerita pasal kerajaan-kerajaan Islam sehingga Khalifah Uthmaniah. Tetapi ia sebuah perjalanan 'pemikiran AL-FATEH' yang cuba dipenuhi oleh ramai pemimpin/Khalifah/Raja daulah Islam bagi mengusahakan sabda Rasulullah (SAW) mengenai kota Konstantinopel.

Dalam masa yang sama, kandungan novel ini ialah 'membawa pemikiran Sultan Muhammad Al-Fateh dan bagaimana sultan muda ini melihat usaha-usaha pemimpin Islam yang mendahuluinya' dalam memenuhi nubuat Nabi Muhammad (SAW) itu.

Justeru menjadi tanggungjawab saya sebagai penulisnya untuk memahami apakah makna AL-FATEH, dan siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh dan bagaimana beliau berfikir serta mentaakul sejarah lalu. Usah tuan dan cikpuan bertanya bagaimana dan selama mana saya mengkajinya. Ia suatu isu yang berlainan.

Satu lagi isu yang ingin saya sentuh di sini ialah, sesebuah novel semestinya tidak akan sama dengan sebuah buku berdasarkan kajian sejarah. Novel bergenre sejarah adalah tetap sebuah karya kreatif yang dikarang, antara lain, mengandungi persepsi penulis, monolog watak, ayat-ayat naratif dan dialog watak-watak utama, tambahan dan mungkin watak fiksyen. Manakala buku sejarah adalah 'buku kajian sejarah yang dicatat oleh pengkaji berautoriti'.

Isu monolog dan dialog; ia turut merangkumi dialog yang dihasilkan daripada ayat-ayat naratif dalam buku sejarah. Dialog itu sama ada memang terakam dalam sejarah ataupun dialog yang 'dicipta' oleh si penulis berdasarkan senario atau ayat naratif berkaitan. Ia bukan kesalahan, melainkan dialog Rasulullah (SAW) dan para Rasul dalam al-Quran yang tidak boleh 'dicipta' oleh penulis (ini isu lain).

Saya terpanggil untuk mengulas isu novel dan buku sejarah kerana membaca posting dari Tuan Abdul Latip Talib yang dihormati, mengenai kandungan monolog Badiuzzaman Said Nursi yang dikatakan oleh pembaca sebagai 'menipu' khalayak.

Saya ulang sekali lagi, tak sama kaedah penulisan dan persembahan bagi kedua-dua jenis karya itu, walaupun membincangkan isu yang sama.

Wallahu'a'lam.

* Mohon tuan dan cikpuan kongsikan kepada sesiapa sahaja dan melalui saluran apa sahaja. Namun andai mahu menembak, peluru kena ada.

 

** Web Sutera - Dare to be different!

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger