BAB 1

27 Jamadilakhir 1432H - “Oi! Kau tidurkah?” jerkah Zainal sebaik telefon bimbit di sebelah sana dijawab.

“Amboi, Nal. Indah sungguh bahasa kau. Bagilah salam dahulu,” tempelak Zamri tanpa berselindung.


“Maaf, Zam. Assalamualaikum, wahai sahabat hamba.”


“Alaikumsalam warahmatullah. Bukankah itu yang paling baik.
Kau ada apa hal telefon aku petang begini?”

“Aku sudah telefon kau tiga kali. Mengapa kau tak angkat?
Telefon mahal kau masuk air atau apa?” soal Zainal sambil ketawa.

“Hahaha. Maaflah kawan. Aku sebenarnya malas mahu jawab panggilan kau apabila aku nampak nama kau tertera di skrin telefon aku. Jangan kecil hati, sahabat. Aku sedang sibuk dengan pembacaan dan kajian untuk kertas projek sejarah,” jawab Zamri sambil matanya tidak lepas dari halaman buku yang sedang ditatapnya.


“Aku sudah agak. Kau sejak aku kenal hampir 5 tahun lalu memang begitu. Kalau kau asyik dengan sesuatu, pasti kau buat pekak kerbau, terutamanya kalau aku panggil,” pintas Zainal sambil tertawa senang di hujung talian satu lagi.

“Aik? Mana kau dapat peribahasa pekak kerbau itu? Mana ada dalam kamus!” soal Zamri acuh tak acuh.


“Peribahasa itu aku cipta sendiri. Dulu emak aku kata, kerbau kalau sedang berkubang dalam selut, kau janganlah kacau dia. Tidak akan dilayannya kau. Sekiranya kerbau itu bengang, dia akan mendengus-dengus sambil menjengkelkan mata,” Zainal menjawab dengan nada serius ambil tangan kanannya diangkat ke atas.


“Betulkah begitu? Baru aku tahu sekarang salah satu perangai kerbau. Nal, kau tak buat kertas projekkah? Kita ada masa hanya kurang dari empat bulan lagi sebelum diserahkan kepada Dr. Mohamad. Eh! Apa
-apa hal pun, kau di mana sekarang ini. Aku dengar bising sahaja?”

“Aku sedang bingung sekarang ini, Zam. Itulah sebab aku telefon kau. Aku baru sahaja keluar dari perpustakaan. Boleh aku jumpa kau di rumah. Boleh bincang dan bertukar idea serta nota. Lagi pun kita buat kertas projek dengan tajuk yang sama, iaitu berkenaan hubungan Alexander Agung Macedonia dengan Zulqarnain dalam Quran,” Zainal mengadu kepada sahabat baiknya sambil mata tunduk ke bawah memerhatikan kaki sendiri.


“Okey, kau datang sekarang ke rumah aku sekarang. Nanti aku buatkan minuman kegemaran kau, air suam,” pantas Zamri menjawab sambil ketawa terkekeh-kekeh.


----------------------------------------------------------


Kedua-dua sahabat itu sedang berhadapan di sebuah meja yang dipenuhi beberapa buku, nota kuliah dan dua buah laptop. Hampir setengah jam yang lalu, Zainal tiba ke rumah penginapan Zamri. Penghuni lain di rumah tersebut keluar dengan aktiviti masing-masing.


“Sebelum memulakan diskusi kita, aku dengan segala hormatnya meminta kau mengumandangkan bacaan ayat-ayat Allah surah al-Kahfi berkenaan Zulqarnain. Aku tahu suara kau merdu didengar apabila kau melagukan bacaan Quran,” kata Zamri memandang sahabatnya Zainal sambil mengulum senyum.


“Okey sahaja. Aku tak ada hal. Hulurkan aku Quran itu,” jawab Zainal sambil menunjuk senaskah Quran yang terletak di atas sebuah rehal kayu.


“Hah! Kau jangan buat hal, Nal. Pergi ambil wuduk dahulu. Walaupun aku tahu bahawa ada ulamak yang menfatwakan boleh memegang Quran tanpa berwuduk, tetapi aku tetap berpegang kepada pendapat mazhab Syafie yang mengatakan tidak boleh memegang Quran tanpa air sembahyang.” Zainal tersengeh dan lantas bangun menuju ke bilik air.


Usai sahaja berwuduk, Zainal membaca ayat-ayat Quran dengan lancar. Selama lima minit suasana rumah bujang tersebut dihiasi keindahan kalimah Allah.


“Memang bagus bacaan kau, Nal. Bukankah aku sudah cakap, suara kau memang merdu. Kalau ada awek yang mendengar bacaan berlagu kau tadi, pasti dia orang terpikat,” puji Zamri jujur sambil menggeleng kepala tanda terpesona.


“Sudah! Jangan hendak memuji aku lebih-lebih. Sekarang giliran kau pula membaca terjemahan kata-kata Allah tadi.”


“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.


“Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.


“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.


“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata:
“Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar” . (Surah al-Kahfi ayat 83 – 98),” Zamri membaca penuh tertib dan perlahan-lahan bagi memudahkan mereka berdua berdiskusi.

“Mujur kau baca perlahan-lahan terjemahannya. Sekiranya tidak, pasti aku terkial-kial untuk memahaminya secara jelas,” kata Zainal sebaik sahaja Zamri menyudahi membaca terjemahan ayat-ayat Allah tersebut.


“Kata-kata Allah tadi telah membuka hijab zaman sebelum Masihi dan menyebutkan perihal peristiwa akan datang. Kau harus memahami intipati berkaitannya, Zainal,” ulas Zamri lagi. Zainal bersetuju dengan anggukan perlahan-lahan.


Seterusnya Zamri bertanya, “Bermula dengan kata-kata Allah “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain”, apa yang kau faham?”


“Menurut hemat aku yang serba daif ini, ianya merujuk kepada pihak atau orang yang bertanya kepada Nabi Muhammad bin Abdullah berkenaan sosok sejarah bernama Zulqarnain. Lalu Allah menjawab dengan kata-kataNya, “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya,”” Zainal menjawab sambil merujuk kitab terjemahan Quran di hadapannya.


“Siapakah orang yang bertanya itu?” Soal Zamri lagi kepada rakannya Zainal sambil mengangkat kening dan memandang tepat ke mata Zainal.


“Dalam kitab-kitab tafsir Quran, terdapat dua riwayat atau perekodan berkenaan mereka. Untuk tujuan perbincangan ini, kira merujuk kepada tafsir Quran oleh Sayyid Qutb,” jawab Zainal sambil mengeluarkan sebuah kitab yang merupakan tafsir Fi Dzilal al-Quran.


“Wah! Kau memang sudah bersedia dengan kitab tafsir demi diskusi ini, Zainal? Kau pinjam dari perpustakaan universiti?” soal Zamri teruja dengan inisiatif sahabatnya.


“Ya, itu sebab aku perlukan bantuan kau dalam menyiapkan kertas projek ini. Kau lebih bijak sedikit daripada aku. Aku ulang, bijak sedikit daripada aku,” jawab Zainal tersengih sambil mengetuk-ngetuk meja perlahan-lahan dengan jemarinya tangan kirinya.


“Kau memang tidak mahu mengalah dengan aku, kawan. Okey, kita teruskan perbincangan ini. Kau baca apa yang Sayyid Qutb jelaskan.”


“Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Dzilal al-Quran berkata, “Kaum Musyrikin Mekah menghantar utusan kepada Yahudi Madinah bagi mencari helah tentang kebenaran kenabian Muhammad. Kaum Yahudi lebih mengetahui mengenai perkara ini kerana mereka adalah ahli kitab dan ilmu pengetahuan mereka tentang nabi-nabi tidak ada pada Musyrikin Mekah. Pendita Yahudi di Madinah berkata kepada utusan itu, “Kamu bertanyalah kepada Muhammad tentang seorang lelaki yang mengelilingi dunia, bermula dari timur bumi hingga ke baratnya. Apa yang akan diceritakannya?”

“Seterusnya Pendita Yahudi berkata, “Tanyalah kepadanya juga tentang sekumpulan pemuda yang ditelah di telan zaman. Apa yang berlaku kepada mereka? Dan tanyakan kepadanya tentang roh, apakah ia yang sebenarnya. Sekiranya dia memberitahu (secara lancar) mengenai tiga perkara ini, maka dia adalah nabi dan ikutlah dia. Sekiranya dia tidak memberitahu kamu, maka dia adalah pendusta. Justeru itu, bertindaklah terhadapnya mengikut apa yang kamu nampak,” ” lancar sahaja bacaan Zainal, lantas memanggul kepala kembali melihat Zamri.

“Zam, kau dengar lagi. Sayyid Qutb berkata lagi, “Sesungguhnya di sana ada yang bertanya kepada Rasulullah tentang Zulqarnain. Lalu Allah mewahyukan kepadanya ayat-ayat yang baginda bacakan dalam sirahnya itu. Kita tidak mempunyai sumber-sumber lain selain daripada Quran dalam sirah ini dan kita tidak memiliki ilmu yang secukupnya untuk mengetahui semuanya. Tafsir-tafsir teleh mengemukakan banyak pendapat, namun ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Sudah pasti kita perlu berhati-hati agar ia tidak terjerumus ke dalam perangkap Israeliyyat dan penipuan.”


“Seterusnya Sayyid Qutb menerangkan, “Telah dinyatakan dalam gaya bahasa Quran bahawa Zulqarnain mengalami tiga perjalanan. Pertamanya perjalanan ke barat. Satu lagi ke timur dan satu lagi adalah tempat (lokasi) di antara dua gunung. Kita ikuti tiga perjalanan yang ditakdirkan oleh Allah di atas bumi. Dia (Zulqarnain) telah diberikan kekuasaan dan kekentalan jiwa. Allah mempermudahkan kepadanya pemerintahan, pembukaan negara, dan sebab-sebab pembinaan dan kemakmuran. Begitu juga dikurniakan kepadanya segala apa yang diberikan kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini.””


“Okey, Zainal. Cukup untuk hari ini. Jangan banyak sangat informasi yang masuk ke dalam minda. Ini pun aku sudah mula terasa pening. Waktu solat Maghrib sudah hampir, lebih kurang lima minit lagi. Aku solat di rumah kau sahaja hari ini. Kau jadi imam, boleh?” akui Zamri akan kelesuan mindanya sambil menutup buku-buku di hadapan.


“InsyaAllah boleh, Zam. Oh ya! Kebetulan malam ini ada satu perbincangan dalam TV berkenaan Yakjuj dan Makjuj. Baik kita ikuti. Mana tahu boleh jadi input untuk kertas projek kita,” akur Zainal sambil mengajak rakannya menonton rancangan tersebut. Zamri bersetuju.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger