Menulis Itu Sia-sia?


Menulis kerana tiada kerja lain? Menulis sebab saja nak syok-syok? Menulis lantaran habiskan masa? Menulis kerana saja gatal-gatal tangan? Itu yang tuan dan cikpuan fikirkan tentang menulis ini?

Saya bukan dilahirkan menjadi penulis, mungkin. Saya bukan bekas pelajar sastera, bukan motivator yang ngetop, bahkan bukan ustaz pun. Dan bukan mudah untuk menulis. Izinkan saya berkisah sedikit.

Ia bermula dari suka membaca, membaca, membaca, dan membaca. Untuk menjadi penulis yang baik, wajib rajin membaca, menelaah dan memerhati. Kemudian mentaakul setiap ilmu yang diperoleh itu. Taakul dengan semangat untuk mengambil pengajaran, untuk berkongsi. Konsep ini lebih kepada amalan belajar sepanjang hayat, selari dengan anjuran Nabi Muhammad (SAW).

Jangan sombong dengan ilmu, kefahaman dan ilham, justeru ia milik Allah. Oleh kerana milik Allah, buat apa kita sombong, kelak Allah boleh sahaja menarik balik ilham dan pemahaman ilmu itu. Justeru saya ingin berkongsi, bukan memandai tup-tup jadi penulis.

Baca, taakul dan tulis. Buat adaptasi di mana perlu, kemudian persembahkan kepada khalayak. Ikhlaskan niat, insya-Allah, ilmu itu bakal beroleh manfaat untuk diri sendiri dan orang lain yang membacanya. Penulis wajib ikhlas berfikir dan menulis.

Menurut hemat saya, berkembangnya bidang penulisan dan banyaknya buku justeru cerdik pandai Islam wajib menulis untuk mengimbangi bahan-bahan bacaan yang buruk dan tidak benar. Peranan para pecinta ilmu di akhir zaman menjadi penting agar tohmahan dan propaganda perang saraf kaum kuffar dapat dipintas, agar umat Islam dan manusia dapat melihat Islam dari sudut yang sah bersumberkan al-Quran, hadis dan kesepakatan ulama.

Justeru para pemuda-pemudi dan orang dewasa perlu rajin membaca, menelaah dan mengisih bahan bacaan yang baik dan dapat dijadikan panduan. Insya-Allah, selama mana ilmu atau tulisan itu berdasarkan fakta-fakta tafsiran al-Quran dan hadis, ianya benar.

Mengapa para ulama menulis? Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, “Rasulullah berkhutbah, dan menyebut satu kisah yang panjang. Pada akhir hadis itu disebutkan bahawa Abu Syah berkata kepada Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah! Tolong tuliskan untuk saya isi khutbah tuan tadi.’ Maka Rasulullah berkata, ‘Tolong tuliskan untuk Abu Syah’.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Namun, "Reading is not easy. Unless you have cultivated the habit, you will not read." (SN A. Samad Said)

** Foto atas: Cikpuan ini sudi untuk mencicip buku Berfikir Gaya Champion. Insya-Allah saya mengajak diri ini dan para pembaca untuk cuba berubah. Ada kisah dan cerita, catatan motivasi, sajak dan cerpen. Sebuah buku diterbitkan oleh GaleriIlmu.

** Saya WEB SUTERA, novelis dan penulis yang sudah menghasilkan lebih 15 karya berbentuk buku.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger